ARAU 18 Ogos -
Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini yang ditubuhkan sejak 130 tahun
lalu begitu dekat dengan hati Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin
Jamalullail yang mempunyai kenangan manis ketika pernah menuntut ilmu di
sekolah tersebut sekitar tahun 1948.
Seperti murid-murid lain, baginda juga terpaksa
menempuh cabaran sama khususnya ketika melalui laluan yang becak dengan
lorong sempit setiap hari apabila berjalan kaki ke sekolah.
Baginda
yang memasuki sekolah berkenaan ketika berumur lima tahun bertitah,
pada masa itu, kenderaan tidak boleh masuk ke kawasan bangunan sekolah
dan hanya berhenti di tepi jalan.
“Beta
terpaksa memakai kasut tinggi yang digunakan oleh orang yang bekerja di
ladang itu ketika berjalan kaki dalam keadaan berbecak menuju ke sekolah
tersebut. Selepas sampai, beta akan membasuh kaki di sebuah kolah di
kawasan itu sebelum memulakan sesi pembelajaran.
“Terdapat
juga murid-murid lain yang hanya berkaki ayam ke sekolah pada masa itu.
Di dalam kelas pada masa itu, beta adalah murid yang paling muda.
Selain itu, beta juga sempat melihat kebanyakkan warga emas belajar di
sekolah sama bagi mengasah kemahiran mereka membaca dalam bahasa rumi.
“Terlalu
banyak kenangan manis dan pengalaman semasa beta belajar di sekolah ini
dahulu,” titah baginda selepas berkenan merasmikan Karnival Sambutan
130 tahun STB di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Yang
turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Setiausaha Kerajaan
Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Guru Besar STB,
Azhar Darus.
Karnival Sambutan 130 STB yang
berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menyediakan pelbagai
aktiviti menarik untuk para pengunjung khususnya alumni sekolah
tersebut.
Antara aktiviti menarik disediakan
pada program yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11 malam itu ialah
pameran atau galeri mengenai sejarah STB; mini zoo; jualan makanan
serta minuman; jualan barangan keperluan daripada Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA); jualan pakaian; pelbagai permainan untuk
kanak-kanak; santai anak seni; pertunjukkan bunga api dan pelbagai lagi
aktiviti menarik.
Seterusnya baginda
bertitah, kesusahan pada zaman perang menyebabkan ramai rakyat yang
tercicir dalam pelajaran dan golongan itu hanya mendapat pendidikan
hanya selepas kemerdekaan.
Untuk rekod, STB
adalah sekolah Melayu pertama ditubuhkan di negeri ini dan dibina pada
tahun 1888 dengan nama asalnya Sekolah Melayu Arau.
Sumber : UTUSAN Online